Enjoy

Monday 10 November 2014

Kitar Semula: Penjanaan Pendapatan Untuk Wanita


Kitar Semula: Penjanaan Pendapatan Untuk Wanita

Written by Siti Fatimah Abd Rahman. Posted in Utusan Malaysia

Amalan kitar semula merujuk kepada perbuatan mengguna semula bahan buangan untuk lain-lain kegunaan. Misalnya, menggunakan plastik bungkus barang yang kita perolehi dari kedai untuk membungkus sesuatu. Atau, menggunakan balang-balang biskut hari raya untuk menyimpan benda-benda lain. Boleh dikatakan hampir semua orang mengitar semula. Bezanya, sejauhmana kesungguhan mereka dalam usaha ini.
Dengan mengitar semula, kita sebenarnya menggunakan sesuatu barangan itu dengan sepenuhnya. Amalan ini amat digalakkan oleh agama Islam kerana ia mengelakkan pembaziran.
Saidatina Aishah pernah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. menjahit dan menampal baju serta kasut Baginda (Riwayat Bukhari). Ini menunjukkan bahawa Baginda tidak terus membuang baju atau kasut Baginda yang koyak, sebaliknya membaiki baju dan kasut itu agar jangkahayatnya dapat dipanjangkan. Inilah teladan penggunaan sumber secara penuh atau menyeluruh dari junjungan kita, Rasulullah s.a.w.
Saidina Abu Bakar pula dilaporkan pernah berpesan kepada keluarganya agar membersihkan salah satu pakaian yang dimilikinya untuk dijadikan sebahagian dari kain kafan beliau. Bagi Abu Bakar, tidak perlu membeli kain kafan yang baru hanya untuk dikebumikan bersama beliau bila kain baru itu akan memberi lebih banyak manfaat kepada orang yang masih hidup. Kita lihat betapa sahabat Rasulullah ini juga menunjukkan sikap tidak membazir dalam penggunaan sesuatu barang. Perbuatan inilah yang perlu kita contohi sepanjang zaman.
Selain penggunaan sumber yang cekap atau menyeluruh, kegiatan kitar semula ini, jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, boleh menjana pendapatan untuk kita. Ada dua cara untuk menjana pendapatan dari kegiatan kitar semula ini. Pertama, dengan menjadi "orang tengah" antara bahan buangan dengan industri yang menggunakan bahan buangan tersebut sebagai bahan mentahnya. Contoh, pembeli dan penjual suratkhabarlama. Kedua, kita boleh menjana pendapatan melalui kegiatan kitar semula ini dengan menukar bentuk bahan buangan itu menjadi sesuatu yang berharga.
Contoh yang boleh dilihat di negara kita ini ialah kraf tangan, khususnya bakul, yang dibuat dari suratkhabar mahupun kertas majalah. Begitu juga, kita biasa melihat bunga hiasan yang diperbuat dari daun getah. Kedua-dua kerja tangan ini dihasilkan dari bahan buangan dengan menggunakan daya reka cipta dan kehalusan seni tangan wanita. Barangan ini pula kemudiannya dijual dengan harga yang agak tinggi. Misalnya, sebuah bakul dari kertas itu dijual pada harga RM30 - RM50.
Jika kita melayari internet, banyak lagi contoh bagaimana wanita-wanita di luar negara menukarkan bahan buangan menjadi barangan lain yang tinggi harganya. Misalnya, (i) ada wanita yang membuat anting-anting dan perhiasan wanita dari ‘key' mesin taip dan komputer; (ii) ada wanita yang memotong beg plastik bungkusan dan mengaitnya menjadi beg tangan yang cantik; (iii) ada juga wanita yang memberi nafas baru kepada pakaian dengan menampal pakaian itu dengan kain atau denim yang terpakai; (iv) ada juga yang membuat barang perhiasan wanita dari beg plastik yang dimampatkan; dan, (v) ada yang membuat beg tangan dan beg galas dari perca kain atau kain terbuang.
Dengan daya reka cipta mereka, wanita-wanita ini berjaya memberi nilai tambah kepada barang buangan dan menjadikannya barang berharga yang boleh menjana pendapatan untuk mereka. Jelas bahawa aktiviti kitar semula boleh menjana pendapatan untuk wanita. Apa yang penting, wanita tersebut perlu memiliki: (i) rasa cintakan alam sekitar dan mahu menyumbang kepada pengurangan jumlah sampah dengan mengitar semula barang buangan yang ada; (ii) daya reka cipta untuk mengubah bahan buangan menjadi sesuatu yang berharga; (iii) kemahiran untuk mengubah bentuk bahan buangan tersebut seperti kemahiran menjahit, mengait dan lain-lain; (iv) minat untuk menceburi bidang ini; dan, (v) pengetahuan untuk memasarkan hasil kerja tangan mereka itu.
Menyedari kemampuan kegiatan kitar semula ini untuk menjana pendapatan bagi wanita, IKIM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, akan menganjurkan Seminar "Penjanaan Pendapatan Untuk Wanita Melalui Aktiviti Kitar Semula" pada 12 - 13 Jun 2007 ini. Seminar ini berhasrat membincangkan: (i) peranan wanita dalam pemuliharaan alam sekitar; (ii) amalan kitar semula di kalangan wanita; (iii) peluang menjana pendapatan dari kegiatan kitar semula; dan, (iv) perkongsian pengalaman dengan mereka yang terlibat dalam penjanaan pendapatan melalui kegiatan kitar semula.
Adalah diharapkan melalui seminar ini, kaum wanita akan lebih maklum mengenai peluang yang terbuka untuk mereka melalui kegiatan kitar semula dan merebut peluang tersebut. Sekiranya ini berlaku, mereka bukan sahaja akan menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, tetapi juga akan menyumbang kepada alam sekitar dengan mengurangkan jumlah bahan buangan yang ada di negara ini.

#http://www.ikim.gov.my/index.php/en/utusan-malaysia/7524-kitar-semula-penjanaan-pendapatan-untuk-wanita

1 comment:

  1. How do you get a titanium bohr model? - Tioga Art
    There are two components that make titanium for sale titanium models that are extremely tittanium rare. Each model aftershokz titanium comes with some sort of unique features that could 대딸 야동 make an babyliss pro titanium flat iron

    ReplyDelete