ISU ALAM SEKITAR : Kitar Semula: Di
manakah Kita?
Usaha membudayakan amalan kitar
semula dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang
rendah. Buktinya, hasil kajian terbaru Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (PPSPPA) mendapati bahawa peratusan rakyat di negara ini
mempunyai kesedaran untuk melakukan kitar semula surat khabar masih lagi pada
tahap yang tidak memberangsangkan iaitu hanya sebanyak 40 hingga 45 peratus
sahaja.
Melihat kepada peratusan yang
minimum ini, ia secara jelas menggambarkan bahawa tahap kesedaran berkaitan
amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini masih lagi jauh
daripada matlamat asal program ini diperkenalkan. Entah di mana silapnya
apabila sehingga ke hari ini tahap kesedaran kitar semula masih sukar untuk
dipertingkatkan walaupun pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi
membudayakan amalan ini di Malaysia.
Malah, disebabkan oleh kegagalan
membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat juga, ia telah
mengakibatkan masalah pencemaran sampah sarap semakin berleluasa dan sukar
untuk dibendung. Kurangnya tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula telah
mengakibatkan jumlah sampah yang masuk ke tapak pelupusan sampah juga sukar
untuk dikurangkan.
Situasi ini amat menyedihkan
memandangkan kita sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara Islam
seharusnya mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi dan terkehadapan dalam
membudayakan amalan kitar semula. Walaupun perkataan kitar semula tidak
disebutkan secara langsung di dalam al-Quran, namun ayat-ayat yang tersirat
berkaitan amalan ini sebenarnya banyak dinukilkan di dalamnya seperti larangan
melakukan pembaziran sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang
bermaksud: "...janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" (Surah al-An'aam, ayat 141) Dalam ayat yang lain Allah SWT
berfirman lagi yang bermaksud: "...dan janganlah kamu melakukan
pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan,
sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada
Tuhannya." (Surah al-Israa', ayat 26-27)
Daripada ayat di atas jelas
menggambarkan bahawa pembaziran merupakan satu amalan yang keji dan wajib
dihindarkan oleh manusia yang beriman kepada Allah. Kefahaman yang jelas
berhubung perkara ini seharusnya dapat diterapkan dalam jiwa masyarakat untuk mengaitkannya
dengan amalan kitar semula sebagai satu wadah bagi mengelakkan pembaziran dan
mengoptimumkan penggunaan sumber sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam
kepada manusia.
Selain daripada perkaitan dengan
amalan pembaziran, kitar semula juga turut mempunyai perkaitan secara tidak
langsung dengan penjelasan-penjelasan berkaitan fenomena alam yang juga banyak
diterangkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang boleh dijadikan pengajaran
kepada kita.
Antaranya sebagaimana yang telah
dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan
langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di
laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari
langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati
(keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pada
pertukaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh
(terdapat) tanda-tanda (Keesaan dan Kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan."(Surah
al-Baqarah, ayat164)
Ayat ini dan banyak lagi ayat yang
seumpamanya di dalam al-Quran menerangkan tentang kitaran-kitaran yang sangat
penting kepada kehidupan manusia iaitu kitaran yang terjadi kepada bumi
sehingga berlakunya pertukaran malam dan siang, kitaran hidup manusia dan
kitaran air yang menjadi nadi kehidupan setiap makhluk hidup di atas muka bumi.
Perkara-perkara ini memperlihatkan bahawa konsep kitar semula sebenarnya telah
dinyatakan secara tidak langsung dalam al-Quran yang mempunyai kepentingan yang
tersendiri terhadap kehidupan sejagat.
Penjelasan-penjelasan berhubung
perkaitan-perkaitan berkenaan seharusnya direnung dan difahami dengan
sedalam-dalamnya oleh manusia untuk ditransformasikan kepada konsep kitar
semula bahan-bahan terbuang demi menyelamatkan alam sekitar daripada terus
menjadi mangsa kejahilan kita. Dengan pemahaman yang jitu berhubung perkara ini
sahaja dapat melentur hati-hati yang keras untuk menerima amalan kitar semula
sebagai satu budaya hidup.
Amalan yang ditonjolkan oleh
junjungan kita Rasulullah SAW dalam mempraktikkan kitar semula sewajarnya kita
contohi pada hari ini. Dalam sebuah hadith telah diriwayatkan bahawa Rasulullah
SAW pernah menjahit dan menampal kasut Baginda. Perbuatan berkenaan telah
memanjangkan lagi jangka hayat baju dan kasut Baginda. Kisah ini memberi
gambaran yang jelas kepada kita bahawa Rasulullah SAW sendiri mengoptimumkan
penggunaan sesuatu barang dalam kehidupan Baginda.
Dalam hadith yang lain pula telah
diriwayatkan bahawa sahabat Baginda, Saidina Abu Bakar pernah berpesan kepada
keluarganya agar mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki. Ini
kerana, beliau berpendapat bahawa kain yang baharu boleh dimanfaatkan oleh
orang yang masih hidup. Di sini memperlihatkan kepada kita bahawa sahabat
Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan Rasulullah SAW iaitu
mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.
Melihat kepada kedua-dua kisah di
atas, bagaimana pula dengan kita? Adakah kita juga telah melakukan perkara yang
sama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat Baginda? Seharusnya
perbuatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda diteladani
oleh seluruh umat manusia sepanjang zaman. Dengan membudayakan amalan kitar
semula dan mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang, kita bukan sahaja dapat
mengelakkan diri kita daripada melakukan pembaziran, tetapi juga dapat
memelihara alam sekitar daripada diancam kemusnahan.
No comments:
Post a Comment